Tuesday, 27 March 2012

Jenis-jenis padi dan cara tanamannya

Padi merupakan satu daripada tanaman bijirin dan merupakan makanan ruji bagi ramai penduduk dunia termasuk Malaysia. Di Malaysia padi yang ditanam terbahagi kepada dua jenis iaitu padi sawah yang juga dikenali sebagai padi bendang, dan padi huma atau padi bukit. Padi sawah atau padi bendang adalah jenis padi yang paling banyak di tanam kerana dapat mengeluarkan hasil yang tinggi. Padi sawah memerlukan banyak menggunakan air, baja dan perlu di tanam dengan cara yang teratur.
Padi sawah banyak di tanam di Semenanjung Malaysia iaitu di Pantai Barat terutamanya di bahagian Utara. Keadaan ini berlaku kerana terdapat kawasan berpaya yang datar dan terdapat satu musim lembap yang ketara dengan purata hujan tahunan melebihi 3500 mm. Kesesuaian ini di tambah lagi dengan adanya musim panas yang berpanjangan.
Padi huma merupakan padi asal yang ditanam di Malaysia sebelum padi sawah diperkenalkan. Padi huma mempunyai hasil yang rendah dan kurang bermutu. Ini disebabkan padi huma di tanam dengan cara lama dan kurang menggunakan baja serta daripada benih yang kurang baik. Padi juga tidak di jaga dengan baik dan selalu pula dirosakkan oleh serangga. Padi jenis ini banyak di tanam di Sabah dan Sarawak yang kebiasaannya ditanam oleh orang asli seperti orang Iban dan Murut. Kelebihan padi huma adalah padi huma tidak memerlukan jumlah air yang banyak dan dapat ditanam di kawasan di mana air tidak bertakung.
Padi sawah yang di tanam di Malaysia sekarang merupakan hasil kacukan dan penyelidikan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan benih padi yang bermutu. Penyelidikan oleh pihak MARDI membantu pembangunan jenis padi yang mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak, dan mempunyai daya tahan penyakit yang lebih tinggi.
Padi yang telah diproses dan dibuang kulit dikenali sebagai beras. Pada masa dahulu, pada akhir musim menuai padi, padi yang ditanam khas akan dijadikan emping padi sebagai hidangan istimewa, bagi menandakan tamatnya musim emnanam padi. Pada suatu masa dahulu, di kawasan pantai timur, upacara puja pantai akan di akan pada akhir musim menanam padi sabagai satu cara melepaskan penat lelah sepanjang musim menanam padi yang lalu.

Thursday, 15 March 2012

Sejarah kubu tentera British

KOTA BHARU 13 Okt. - "Bukan kubu Jepun, malah bukan juga monumen peringatan sejarah, tetapi ia adalah tinggalan sebenar kubu-kubu kebal yang dibina tentera British pada zaman Perang Dunia Kedua dahulu."
Demikian kata Pegawai Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Datuk Salleh Mohd. Akib, merujuk kepada binaan kubu-kubu konkrit lama berusia 70 tahun yang masih kedapatan di beberapa daerah di negeri ini.
Kebanyakan binaan konkrit itu berbentuk segi sembilan dan ia diperbuat daripada campuran simen dan pasir sungai dengan kerawat besi, sementara ketebalan dinding melebihi 0.3 meter dan keluasan pula lebih 18 meter persegi.
Salleh berkata, ramai di kalangan masyarakat hari ini keliru dan membuat andaian bahawa kubu-kubu tersebut atau 'pill boxes' adalah kubu tentera Jepun, padahal ia dibina lebih awal oleh tentera British untuk membedil Jepun.
Beliau berkata, kubu perlindungan dan 'pos' pemerhatian itu didirikan pada 1940 di beberapa lokasi strategik terutama di pantai bahagian utara sepanjang Tumpat ke Bachok yang terdedah luas menghala Laut China Selatan bagi mempertahankan negeri Kelantan daripada serangan musuh semasa Perang Dunia Kedua.
Katanya, kubu-kubu kebal tersebut mempunyai signifikan penting dalam sejarah kerana ia dibina khusus hasil maklumat risikan yang menjangka Jepun menyerang Tanah Melayu melalui negeri ini.
"Perang Dunia Kedua berlaku antara tahun 1939 hingga 1945 dan ia bermula apabila salah satu negara daripada pakatan kuasa 'Axis' iaitu Jerman menyerang negara-negara di Eropah.
"Selain Jerman, pakatan tersebut turut disertai Itali dan Jepun dan mereka memusuhi negara-negara kuasa bersekutu terdiri daripada perikatan negara-negara Komanwel, Perancis, Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan China.
"Risikan penjajah British menghidu bahawa Tanah Melayu akan diserang melalui Kelantan lalu mereka membuat persediaan awal dengan mendirikan puluhan kubu-kubu kebal bagi mempertahankan negeri," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Risikan British itu ternyata tepat apabila menyaksikan Pantai Sabak, Pengkalan Chepa dekat sini, menjadi medan pertama perang.
Kapal Jepun mula kelihatan pada malam 7 Disember 1941 dan tembakan pertama dilepaskan selepas pukul 12 tengah malam.
Menurutnya, angkatan tentera Jepun seramai 5,200 orang dari Rejimen Ke-56 Divisyen 18 yang dipimpin Pemerintah Tentera Darat, Mejar Jeneral Hiroshi Takumi itu datang dengan lima kapal pengangkut dan pembinasa.
Katanya, tentera Inggeris yang berkubu di Pantai Sabak memberikan tentangan hebat menghalang tentera Jepun mendarat tetapi Jepun dapat menewaskan pertahanan di pantai tersebut, seterusnya menguasai Pengkalan Chepa dan seluruh Kota Bharu jatuh ke tangan mereka pada 9 Disember 1941.
Tokoh sejarah dan pendidikan itu sedang dalam proses akhir menyiapkan buku bertajuk Kubu Kebal British di Kelantan yang bakal diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Jepun.
Salleh berkata, pembinaan kubu kebal secara agresif hanya dilakukan di Kelantan berbanding negeri lain seperti Pahang dan Pulau Pinang yang mempunyai beberapa kubu kebal sahaja.
Bagaimanapun katanya, sebahagian besar kubu seperti yang terdapat di Pantai Sabak dan pesisir pantai di Bachok sudah ditenggelami air dan berada jauh ke dalam laut akibat hakisan pantai yang berlaku sejak tahun 1942 lagi.
Katanya, tentera British bukan sahaja mendirikan binaan konkrit itu di tepi pantai tetapi ia turut dibina di sekitar landasan kapal terbang seperti di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa; Gong Kedak, Pasir Putih dan di Lalang Luas, Machang yang pada hari ini merupakan kawasan taman perumahan.
Beliau berkata, tiada maklumat rasmi mengenai jumlah sebenar kubu-kubu yang dibina tetapi tinjauan pasukan Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri sebelum ini mengesan hampir 30 kubu kebal masih wujud termasuk sebuah yang dijumpai berdekatan jambatan landasan kereta api di Manek Urai, Kuala Krai.

Selain itu, katanya, mereka mengesan 12 kubu kebal di sepanjang pesisir pantai Bachok yang dibina satu hingga satu setengah kilometer antara satu sama lain, sebuah di Pantai Sabak, sebuah berdekatan hotel ternama tepi Sungai Kelantan di Kota Bharu, sebuah di Pantai Dalam Rhu, Tumpat, dua di Machang, dua di Pasir Putih dan lapan di Pengkalan Chepa.
"Tentera yang ditempatkan di kubu-kubu kebal ini adalah tentera British berketurunan India-Punjab yang dibekalkan dengan senjata seperti mesingan ringan dan berat serta senapang jenis MK-4 dan MK-5.
"Tiap-tiap pasukan yang mengawal kubu terdiri antara lima sehingga 10 orang dan mereka diberikan arahan supaya memberi tentangan sengit kepada tentera Jepun. Tujuannya supaya dapat memberi masa kepada pegawai tentera dan orang berbangsa Inggeris di Kelantan lari ke Singapura.
"Menurut cerita orang kampung yang tinggal berdekatan kubu, ada di kalangan tentera India-Punjab itu dirantai kakinya oleh pegawai British supaya mereka tidak dapat melarikan diri," katanya.
Salleh berkata, dari sebelah dalam, sebahagian kubu-kubu kebal itu didapati mempunyai ketinggian lebih dua meter dan ini memberi ruang kepada tentera India-Punjab untuk mengawal kubu sambil berdiri.
Katanya, pintu kubu dibina secara serong dengan adang pintu khas bagi mengelak tembusan peluru dari sudut hadapan manakala setiap penjuru atau segi mempunyai lubang-lubang khas yang keluasannya cukup untuk penggunaan senjata dan melihat pergerakan musuh dari jauh.
Jelasnya, di ruang dalaman kubu pula terdapat konkrit dinding di tengah-tengah sebagai kelebihan tempat berlindung semasa pertempuran dan memberi sedikit keselesaan kepada tentera untuk bersandar dan meletakkan barang-barang serta senjata mereka.
"Namun setiap kubu mempunyai sedikit perbezaan pada tinggi rendah dan keluasan dinding tengah bergantung kepada keadaan geografi tempat kubu dibina, kegunaan senjata berbeza serta jumlah askar yang ditempatkan.
"Misalnya, jika di tempat lain atap kubu biasanya adalah lapisan konkrit yang rata tetapi kubu kebal di jambatan kereta api Manek Urai yang menghadap Sungai Lebir mempunyai atap seperti bumbung rumah," katanya.
Salleh berkata, peranan kubu-kubu kebal itu sewajarnya diingati kerana peristiwa pendaratan tentera Jepun pada 8 Disember 1941 tidaklah semudah yang disangka kerana tentangan sengit daripada tentera yang berada di kubu kebal berkenaan.
Beliau berkata, tentera Jepun yang terlibat dilaporkan pernah memberitahu bahawa jika tentera British bertahan lebih lama, tentera Jepun mungkin tewas disebabkan serangan dari kubu kebal dan juga kewujudan pagar kawat berduri yang menjadi benteng utama pertahanan di pantai.
Sementara itu, salah satu tinggalan kubu kebal ini boleh dilihat di tepi jalan sebelum Pasar Pengkalan Chepa kira-kira dua kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Lokasi kubu kebal itu mudah dikenal pasti kerana diperindahkan dengan pagar batu oleh Jabatan Warisan Negara sejak 2006 bagi tarikan pelancong dan peminat sejarah.
Pesara polis, Ismail Shafie, 67, yang ditemui di situ berkata, usaha tersebut baik bagi mengingatkan generasi muda tentang sejarah Perang Dunia Kedua dan bagi memastikan tapak kubu kebal itu tidak 'tewas' kepada arus pemodenan.
"Tetapi kalau boleh pihak bertanggungjawab menambah lagi kemudahan dengan meletakkan papan kenyataan yang boleh memberi maklumat tentang sejarahnya kepada pengunjung dan juga orang lalu lalang di kawasan ini," katanya.

Wednesday, 14 March 2012

Sejarah Negeri Kelantan

Negeri Kelantan yang mempunyai seni budaya tradisional yang unik ini juga mempunyai sejarah persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M (814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada Maharaja China itu.
Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginda Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Sultan Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M).
Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.
Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkam menjadi Permaisuri Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah tenggara Kuala Krai.
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang menggelarkan Cik Wan Kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.
Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Sultan pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sewaktu masih kecil dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.
Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong.
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.
Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).
Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar Temenggong Sultan Omar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Raja Omar mangkat pada 1721M (1132H), Baginda Long Bahar telah ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak puteri sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar adalah putera Raja Petani (Wan Daim) yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahandanya dan berkahwin dengan Raja Pah Puteri Sultan Omar dan bersemayam di Sening dekat Jembal.
Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja Perempuan Patani bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Geting yang memerintah di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pandak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja Kubang Labu, dan adiknya pula Long Muhammad dilantik menjadi Raja Muda.
Kemudiannya pada 1758M, Long Pandak telah mangkat di tangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pandak membunuh isterinya Tengku Tengah iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletus peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dengan Long Gaffar, putera kepada Raja Reman di Hulu Perak. Dalam peperangan pada 1762M, Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. bagi mengenang jasa Long Gaffar yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh. Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.

Tuesday, 13 March 2012

SEJARAH JENIS-JENIS PADI


Pembiakan jenis-jenis padi telah dimulakan di Semenanjung Malaysia pada tahun 1915 di stesyen Penyelidikan Titi Serong dan kemudiannya merebak ke stesyen-stesyen lain.  Berbagai jenis padi telah dikeluarkan dan diantara jenis yang diminati ialah Siam 29, Nachin, Serendah Kuning, Seraup 50 dan Siam 48.  Walau bagaimanapun jenis-jenis padi tempatan ini adalah peka cahaya dan hanya sesuai untuk ditanam "di dalam musim" sahaja.
Ciri-ciri Jenis Padi
  • Malinja
  • Mahsuri
  • Ria
  • Bahagia
  • Murni
  • Masria (pulut)
  • Jaya
  • Sri Malaysia Satu
  • Sri Malaysia Dua
  • Pulut Malaysia Satu
Pada tahun 1969, Mahsuri Baru yang tidak peka pada penyakit karah, telah dikeluarkan dan disebarkan kepada petani untuk menggantikan padi Mahsuri asal yang sangat peka pada penyakit tersebut.
Pada tahun 1950, negara kita telah menyertai rancangan pemilihan dan pembiakan padi antarabangsa.  Rancangan ini bertujuan mengeluarkan jenis padi yang sesuai ditanam dua kali setahun dan mempunyai sifat-sifat utama seperti:-
  • mengeluarkan hasil tinggi
  • matang dalam jangka masa yang singkat
  • tidak peka cahaya
  • tidak peka kepada serangan perosak dan penyakit
  • tidak mudah rebah
  • menghasilkan mutu beras yang baik
Jenis Padi Baru Telah Dikeluarkan
Dari tahun 1964 hingga 1974, sejumlah lapan jenis pada beras dan dua jenis padi pulut telah dikeluarkan.  Padi ini adalah jenis berhasil tinggi dan sesuai ditanam dua kali setahun.
Penerimaan Padi Jenis Baru di Malaysia
Penerimaan padi jenis baru di Semenanjung berbeza dari kawasan ke kawasan.  Diantara sebab-sebabnya ialah:-
  • Jenis padi baru itu tidak sesuai ditanam di kawasan-kawasan tertentu yang mempunyai air dalam dan kemasaman tanah yang tinggi.
  • Ada pula jenis baru yang tidak digemari oleh sebahagian besar petani di negara ini kerana kononnya rumpunnya rendah dan peka pada penyakit.
     
  • Keminatan kepada padi jenis tradisional masih kuat di setengah kawasan.
     
  • Padi jenis baru menggunakan banyak baja untuk mengeluarkan hasil yang tinggi.  Ini menyebabkan ada petani yang kurang suka menanamnya.
     
  • Setengah petani menanam padi untuk menghasilkan beras dan nasi mengikut selera.
Rajah berikut menunjukkan jenis padi baru yang ditanam di Semenanjung mengikut negeri:-
 

Negeri Jenis Padi Baru Yang Ditanam
 Kedah  Padi Mahsuri, Ria Bahagia, Murni, Jaya & Padi Pulut Malaysia Satu
 Perlis  Padi Mahsuri
 Pulau Pinang  Padi Mahsuri, Bahagia, Masria, Jaya, Padi Sri Malaysia Satu & Pulut Malaysia Satu
 Kelantan  Padi Mahsuri, Ria, Bahagia, Murni, Jaya, Padi Sri Malaysia Satu dan Pulut Malaysia Satu
 Terengganu  Padi Mahsuri, Ria, Bahagia, Sri Malaysia Satu, Sri Malaysia Dua
 Selangor  Padi Mahsuri, ria, Bahagia, Murni, Jaya, Sri Malaysia Satu, Pulut Malaysia Satu
 Pahang  Padi Malinja, Mahsuri, Ria, Bahagia, Murni, Masria, Jaya, Sri Malaysia Satu, Sri Malaysia
 Dua dan Pulut Malaysia Satu
 Perak  Padi Malinja, Mahsuri, Ria, Masria, Bahagia, Sri Malaysia Satu dan Sri Malaysia Dua
 Negeri Sembilan  Padi Mahsuri, Ria, Bahagia, Murni, Sri Malaysia Satu, Sri Malaysia Dua dan Pulut
 Malaysia Satu
 Melaka  Padi Malinja, Mahsuri, Ria, Bahagia, Murni, Jaya dan Sri Malaysia Satu
 Johor  Padi Malinja, Mahsuri, Ria, Bahagia, Murni, Sri Malaysia Satu, Sri Malaysia Dua
 dan Pulut Malaysia Satu

Penutup
Pembiakan jenis baru telah dibuat khusus untuk meninggikan hasil pengeluaran padi negara serta meninggikan pendapatan petani.  Diantara sifat-sifat padi yang telah dititikberatkan dalam program pembiakan padi di negara ini ialah hasil yang tinggi, mutu beras yang baik, tidak peka pada penyakit serta jangkamasa kematangan yang singkat.  Setakat ini jenis padi baru yang paling digemari oleh petani-petani di seluruh Semenanjung ialah Mahsuri Baru.
Pada 4hb. November 1979, Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan tiga jenis padi baru iaitu Padi Semenanjung, Sekencang dan Sekembang yang dikeluarkan oleh pihak MARDI.  Antara ciri-ciri padi baru ini adalah seperti berikut:-
 
Jenis
(Ciri-ciri)
Setanjung
(MR 1)
Sekencang
(MR 7)
Sekembang
(MR 10)
 Keturunan  IR 22 dan Pazudofusu  Jaya dan Tadukan  IR 8 /Engkatek/
 Secupak dan Ria 163
 Jangkamasa Matang
 (hari)
 136 - 140  120  - 125  140 - 146
 Tinggi Pokok (sm)  110 - 120  97 - 120  96 - 109
 Bentuk Pokok  Padat dengan daun yang
 tegak
 Padat dengan sedikit
 daun terkulai
 Tegak dengan daun yang
 berlebihan
 Gred Beras  Panjang  Panjang  Sederhana Panjang
 Mutu Nasi  Baik  Baik  Baik
 Rebah  Tahan Rebah  Tahan Rebah  Tahan Rebah
 Reaksi ke Penyakit/
 Serangga)
 Sederhana tahan pada
 Penyakit Karah. Boleh
 diserang oleh Bena Perang.
 Sederhana tahan pada
 Penyakit Karah. Boleh
 diserang oleh Bena Perang
 Sederhana tahan pada
 Penyakit Karah. Boleh
 diserang oleh Bena Perang
 Hasil Gantang/ekar  756 - 1001  500 - 1166  400 - 916
 Kawasan yang sesuai  Seberang Prai, Kedah/
 Perlis dan Tanjung Karang
 Tanjung Karang, Seberang
 Prai, Kedah/Perlis dan
 Kemubu
 Kemubu, Besut dan
 Kuala Terengganu